NAMA DAN SEJARAH KAMPUNG:
KAMPUNG PARIT HAJI IDRIS telah diteroka pada tahun 1919
oleh Haji Wahab dan Haji Idris. Keadaan pada masa itu masih hutan, berair dan
selalu berlaku banjir. telah dilantik oleh penduduk di situ sebagai ketua kumpulan
dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Kampung.Setelah Haji
Idris meninggal dunia, tempat beliau diganti oleh Rahmat Bin Haji Wahab. Pada tahun
1935, telah berlaku satu tragedi dan ramai penduduk yang meninggal dunia akibat
diserang satu penyakit misteri. Pada masa itu hanya terdapat 30 buah rumah
sahaja. Pada tahun
1940, berlaku satu lagi malapetaka di mana seluruh kampung terbakar dan menjadi
padang jarak padang terkukur. Pada tahun
1941, kedatangan Jepun ke Tanah Melayu dan pada ketika itu keadaan amat
menyulitkan di mana para penduduk sukar untuk mendapatkan makanan dan mereka
hanya menjadikan ubi kayu, jagung, keledek dan sebagainya sebagai makanan
harian. Pada tahun
1948, komunis pula mengambil alih dan orang-orang Melayu menjadi mangsa
keganasan mereka. Pada masa itu tiada jalan kampung untuk ke pekan. Setelah
diusahakan, kawasan tersebut telah ditanam dengan padi, jagung, ubi, keladi dan
lain-lain tanaman kontan. Tahun 1957,
Tanah Melayu mendapat kemerdekaan dan kehidupan penduduk kampung ini turut
berubah. Tahun 1965,
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ditubuhkan dengan
menjadikan Kampung Parit Haji Idris sebagai kampung induk manakala Kampung Parit
Jarum, Parit Ghani dan Parit Kassim sebagai kampung rangkaian. Pada tahun
1966, parit untuk menyalirkan air telah dibina oleh pihak Jabatan Parit dan
Taliair (JPT) manakala jalan tanah merah dibina pada tahun 1967. Sebuah balai
raya telah didirikan pada tahun 1968 untuk kegunaan masyarakat kampung
berhimpun dan dijadikan kelas Tabika Kemas. Sembahyang
Jumaat yang pertama mula beroperasi di bangunan Surau Tengah pada tahun 1975
diimamkan oleh Encik Mesral Bin Wasingo manakala bilalnya Encik Hosnan Bin Haji
Arshad. Sebelum ini penduduk kampung menunaikan Sembahyang Jumaat di Masjid
Jamek Bukit Gambir. Pada tahun
1972, bekalan air paip mula disalurkan ke kampung ini manakala bekalan elektrik
pada tahun 1976. Penduduk
kampung ini amat bertuah kerana seorang dermawan, Tuan Haji Idris telah membina
sebuah masjid baru bernilai RM100,000.00 bagi menggantikan bangunan surau yang
telah uzur pada tahun 1981. Bagi
kemudahan para penduduk kampung mengeluarkan hasil mahsul ke pekan, jalan tanah
merah telah diturap tar pada tahun 1987. Pada tahun
1988, Tuan Haji Rahmat Bin Haji Wahab telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai
Ketua kampung atas faktor usia dan kesihatan yang tidak mengizinkan. "TERIMA KASIH TUAN HAJI" Pihak
kerajaan telah memberikan mandat kepada Tuan Haji Ismail Bin Haji Sitam sebagai
Ketua kampung yang baru mulai tahun 1989.
Pada tahun 1990, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membina bangunan Rumah Kebajikan Orang Islam Tidak Berwaris dengan peruntukan sebanyak RM15,000.00 yang dibina secara gotong-royong dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Haji Abdul Ghani Othman pada tahun 1994. Perpaduan dan kesepakatan para penduduk kampung dalam membangunkan kampung telah membawa satu kejayaan di mana pada tahun 1995 telah mendapat Johan dalam Pertandingan JKKK Aktif peringkat Daerah Muar manakala tempat ketiga untuk peringkat negeri Johor. Pada tahun 1997, jalan kampung ini telah diturap semula di bawah seliaan KPRJ dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Haji Abdul Ghani Othman. Pada tahun 2002, balai raya yang telah uzur telah dibina semula dengan bangunan baru di bawah peruntukan Kerajaan negeri bernilai RM100,000.00. Pada tahun yang sama, sebuah bangunan Tabika Kemas telah dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh Tuan Haji Mesral Bin Wasingo dengan peruntukan bernilai RM70,000.00. Pada tahun 2006, berlaku rombakan kawasan pentadbiran Ketua kampung di mana Kampung Parit Haji Idris menjadi kampung induk manakala kampung rangkaian di bawahnya ialah kampung Parit Jarum Darat dan Parit Jarum Tengah.
Setelah sekian lama menjadi kampung induk, pada tahun 2014 Kampung Parit Haji Idris kini telah mendapat perkenan untuk mentadbir kampung dengan pentadbiran sendiri tanpa kampung rangkaian.
Tahun 2013 sekali lagi sejarah pentadbiran kampung tercipta, apabila Tuan Haji Ismail Bin Haji Sitam dengan hormat dan rasminyanya telah melepaskan jawatan beliau sebagai Ketua Kampung yang disandang olehnya setelah hampir 25 tahun. " TERIMA KASIH TUAN HAJI".
Kini pada tahun 2014 dengan pentadbiran baru yang dipimpim oleh Encik Keliwong Bin Mohamed, Kampung Parit Haji Idris menuju ke arah Kampung Sejahtera 2015.